Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W ialah ayat 1 hingga 5 surah al-‘Alaq. Perintah iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ kepada Nabi S.A.W, adalah isyarat bahawa Islam memberikan perhatian yang cukup besar tentang kepentingan ilmu dalam menentukan darjat manusia.
Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”
Ketika menggesa umat Islam mengambil perhatian mengenai peringatan Allah itu, Rasulullah S.A.W bersabda: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam.” (Riwayat Imam Ibnu Majah).
Pendidikan bukan hanya berlaku di sekolah. Pendidikan sebenarnya bermula segera setelah anak lahir dan akan berterusan sehingga manusia meninggal dunia. Pada dasarnya sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan bersama dengan ibubapa. Ibubapa atau keluarga merupakan lingkungan pertama dan utama bagi proses pembelajaran seorang individu sekaligus meletakkan dasar pembentukan keperibadian anak. Pendidikan anak diperolehi terutama melalui interaksi antara ibubapa dan anak. Ketika berinteraksi dengan anaknya, ibubapa akan menunjukkan sikap dan perlakuan tertentu terhadap anak-anaknya. Oleh itu bagi menentukan kesinambungan proses pembelajaran antara sekolah dengan pembelajaran di rumah, maka ibubapa perlu dari masa ke semasa menyemak dan menyiasat kemajuan pendidikan dan disiplin anak-anak.
Berdasarkan pemerhatian terdapat perkaitan yang kuat betapa besar penglibatan ibubapa dalam memajukan pendidikan anak-anak, maka besar pulalah kejayaan anak-anak dalam pendidikan. Oleh sebab itu, ibubapa tidak boleh menyerahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru sahaja dalam menentukan kejayaaan anak-anak. Ibubapa hendaklah memainkan peranan dan kerjasama rapat dengan pihak pengurusan sekolah.
Satu lagi pihak yang turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti modal insan selepas ibubapa ialah para guru. Kadangkala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibubapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sesebuah sekolah. Sebagai langkah positif, maka ibubapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan dan kepercayaan besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar-pelajar mereka masing-masing.
Oleh itu kita berharap khususnya ibubapa jangan mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat lapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin keras ke atas pelajar. Kita yakin tindakan tegas guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak pelajar agar sedia berubah menjadi insan yang berguna. Jika guru-guru bersikap sambil lewa dan tidak tegas dalam mengawal disiplin pelajar kerana takutkan ibubapa, maka ia akan merugikan ibu-bapa dan pelajar itu sendiri.
Apa yang nyata, Islam memberi pengiktirafan yang besar terhadap peranan guru-guru kerana guru memberi sumbangan yang besar dalam penyebaran ilmu kepada setiap generasi. Rasulullah S.A.W menyifatkan mereka yang menyebarkan ilmu itu adalah orang yang mewarisi tugas-tugas kenabian. Rasulullah S.A.W bersabda: ”Para ulama itu adalah pewaris para Nabi.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi).
Pada hari ini kita melihat orang yang mengejar ilmu pengetahuan semakin bertambah hingga bilangannya amat mengejutkan terutama sekali muda mudi kita dan pelajar-pelajar dalam pelbagai peringkat. Ini menunjukkan wujud tanda positif bahawa kesedaran menuntut ilmu semakin meningkat sama ada mereka dari bandar atau luar bandar. Berdasarkan kesedaran meningkat ini, maka kita melihat wujud persaingan sengit untuk mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi sama ada awam atau swasta.
Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat pertambahan orang mengejar ilmu dari masa ke semasa? Allah S.W.T menciptakan alam dengan seluruh isinya penuh dengan rahsia yang perlu dibongkarkan demi kemanfaatan manusia. Oleh sebab itulah maka Allah menjadikan manusia yang dibekalkan akal menjadi khalifah di muka bumi ini. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini”.
Allah S.W.T. menciptakan bumi ini untuk manusia, untuk ditadbir dengan sebaik-baiknya sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah. Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab dan berkewajipan menguruskan muka bumi untuk kebaikan kita sendiri, manusia, haiwan, alam sekitar dan planet-planet lain yang berkaitan. Ingat.. mentadbir muka bumi ini bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan. Menguruskan alam merupakan amanah berat yang harus dipikul dan kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T.
Di samping itu manusia adalah makhluk yang tumbuh dan berkembang. Ia ingin mencapai satu tahap kehidupan yang selesa. Selama manusia berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya, menambah ilmunya, memperhebatkan peribadinya, prestasi kerjanya, penampilannya, maka selama itulah proses pendidikan berjalan terus. Ini bermakna proses pendidikan dalam kehidupan manusia tidak terhad pada zaman persekolahan dan universiti sahaja malah berlaku pada sepanjang hayat. Sebab itu kita melihat ramai tokoh-tokoh politik, pemimpin kerajaan, ulama dan mereka yang telah berjaya dalam kerjaya terus membaca dan menjadi ulat buku bagi memenuhi keperluan tuntutan agama, organisasi, masyarakat dan negara.
Sebenarnya banyak kelebihan bagi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Antaranya dapat menghindarkan diri dari kejahilan, dapat membezakan antara yang benar dan tidak tidak benar. Selain itu segala kerja dan amalan yang dilaksanakannya tidak sia-sia, malah beroleh keredhaan Allah S.W.T serta memberi faedah kepada dirinya dan manfaat kepada orang lain. Dalam hubungan ini, Nabi junjungan kita pernah bersabda mengenai tiga amalan yang sentiasa berterusan. Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalan melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang ditinggalkannya atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannnya.”(Hadis riwayat Muslim). Hadis ini memberi peringatan besar kepada umat Islam khususnya ibubapa bahawa membekalkan atau mewariskan ilmu pengetahuan menjadi saham terpenting dan amat bernilai kepada anak-anak untuk meneruskan survival mereka pada masa akan datang di dunia global yang penuh mencabar.
Marilah sama-sama kita berusaha menambah ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Jadikanlah ia sebagai warisan generasi kita. Berbanggalah kita dengan menjadikan ilmu sebagai tuntutan sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai matlamat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan berilmu.. insya Allah kita menjadi umat yang cemerlang di mata dunia dan juga di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment